Tuesday, 1 March 2011
Kepelbagaian makanan rakyat Malaysia
Selain kaya dari segi budi bahasa, budaya, dan adat resam, Malaysia juga kaya dengan pelbagai jenis makanan. Ini disebabkan oleh negara Malaysia yang mempunyai potpuri budaya menarik yang mana mengabungan tiga kaum besar iaitu Melayu, Cina dan India Cina dan telah berjaya menyatukan pelbagai menu kepada ‘hidangan Malaysia’ dan menjadikan ia sebagai salah satu tarikan kepada pelancong dari luar.
Malaysia memiliki pelbagai jenis restoran hampir di setiap Bandar dan pekan. Terdapat Restoran Melayu, Restoran Cina, Restoran India, Restoran Thai dan banyak lagi. Makan di Malaysia adalah pengalaman ilmu pengetahuan tentang makanan enak yang sebenar. Terdapat pelbagai pilihan menarik seperti Masakan Melayu yang pedas, kepelbagaian Makanan Cina yang bagaikan tiada kesudahannya, hidangan eksotik dari utara dan selatan India, Nyonya serta Makanan Portugis. Hidangan masyarakat Malaysia yang terkenal adalah termasuk satay, nasi lemak, rendang, roti canai, yong tow foo, nasi beriayani dan banyak lagi.
Bagi kaum Melayu, nasi lemak adalah antara menu yang amat sebati dengan jiwa mereka. Kini, ianya bukan sahaja menjadi kegemaran kaum Melayu tetapi juga turut di gemari oleh kaum Cina dan India. Nasi lemak dahulunya dihidang untuk sarapan pagi tetapi pada masa kini, ia telah dijadikan hidangan tengah hari dan malam. Ia juga turut dihidang pada rumah terbuka dan dijadikan salah satu menu di hotel-hotel. Nasi lemak turut diiringi dengan beberapa lauk sampingan seperti kari ayam, rendang ayam atau daging, sambal sotong kering atau ikan bilis, ayam goreng dan paru goreng. Di samping itu, terdapat juga hirisan rangup timun, telur rebus dan kacang goreng di dalam hidangan nasi lemak untuk menambahkan lagi kelazatan hidangan tersebut.
Roti canai atau paratha pada asalnya ialah makanan kegemaran kaum India. Buat masa kini roti canai berjaya meletakkan tarafnya sebaris dengan nasi lemak. Roti canai diminati oleh sebilangan besar rakyat Malaysia. Capati yang diolah dari gandum tulin mempunyai banyak khasiat dan makanan sesuai untuk penyakit kencing manis dan darah tinggi. Roti-roti ini sedap dimakan bersama dal, kari dan sambal. Roti canai akan berganda sedapnya sekiranya ia dinikmati bersama dengan teh tarik.
Berbeza pula dengan nasi ayam Hainan. Ia merupakan makanan Cina yang sering dikaitkan dengan makanan Malaysia, malahan ia juga ditemui di negara jiran iaitu Thailand dan di wilayah Hainan, China. Nasi ayam Hainan dinamakan sedemikian kerana asal-usulnya dalam makanan Hainan dan pengamalannya oleh populasi orang Cina seberang laut bersuku Hainan dalam kawasan Nanyang, versi makanan ini yang didapati di Malaysia menggabungkan unsur-unsur masakan Hainan dan Kantonis ditambah lagi dengan citarasa pemakanan di Asia Tenggara. Nasi ayam Hainan berasal dari China, maka asal-usulnya juga di sana. Kini, ramai dikalangan rakyat Malaysia yang mengemari makanan Cina.
Selain daripada itu, Lok lok adalah satu-satu makanan Cina yang masih dijaja dan menjadi kegemaran kaum Cina. Lok lok atau dikenali dengan sate celup merupakan makanan ringan dari sayuran, daging dan makanan laut. Nasi ayam bukan sahaja dipelopori oleh kaum Cina tetapi diminati oleh semua rakyat Malaysia.
Kesimpulannya, sebagai rakyat Malaysia, kita memiliki pelbagai jenis makanan tradisional dan itu sesuatu yang harus dibanggakan kerana ia mencerminkan keunikan budaya dan identiti bangsa di negara kita. Oleh itu, kita harus berbangga menjadi rakyat Malaysia dan rugilah kepada sesiapa yang tidak mencuba hidangan istimewa negara ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment