Wednesday, 2 March 2011

Sikap Sambil Lewa dan Ketidakprihatinan Masyarakat

Serbuan orang ramai khususnya ke pejabat-pejabat Pos dan polis trafik beberapa hari sebelum tempoh menjelaskan saman trafik pada kadar diskaun 50 peratus tamat iaitu pada 28 Februari 2011, jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia terutamanya Melayu sering mengambil remeh dan bersikap sambil lewa terhadap sesuatu perkara.
Ini menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut. Selain mengalami masalah kesesakan di tempat pembayaran, pesalah trafik juga terpaksa beratur panjang sementara menunggu giliran, terdapat juga segelintir pesalah trafik yang gagal memperoleh nombor giliran kerana kaunter pembayaran terpaksa mengehadkan bilangan pelanggan berdasarkan kemampuan mereka. Berbeza pula dengan kisah di pejabat polis trafik Jalan Bandar, Kuala Lumpur, nombor giliran sudah habis pada jam 10.30 pagi manakala di pejabat polis trafik Bukit Aman, pesalah trafik yang datang seawal jam 8.30 pagi mendakwa belum dapat menjelaskan saman mereka sehingga jam 3 petang semalam. Isu kesesakan tidak hanya tertumpu di kaunter pembayaran sahaja, namun laman-laman sesawang seperti Myeg juga sesak ekoran masalah trafik internet yang maksimum.
Merujuk kepada kes saman trafik berdiskaun ini, Kabinet sebenarnya telahpun melanjutkan tempoh pembayaran selama enam bulan iaitu sehingga akhir bulan februari. Malah, Pejabat Pos yang biasanya ditutup Ahad telah dibuka pada 28 februari bagi tujuan membolehkan orang ramai membayar saman trafik.
Apapun, itulah keadaan yang sering kita lihat pada hari-hari terakhir menjelang tempoh akhir urusan rasmi tertentu untuk orang ramai bereskannya. Itulah, apa yang boleh kita lihat sikap bertangguh sehingga saat-saat akhir masih wujud pada kebanyakan kita, sekalipun dalam kes ini ramai yang memberi alasan menunggu gaji masuk.

Isu rakyat Malaysia terutamanya Melayu yang tidak prihatin dan gemar bersikap sambil lewa tidak hanya merujuk kepada isu saman, namun begitu, banyak lagi isu lain yang dapat mengambarkan sifat tersebut seperti isu kemalangan bas.


Nahas bas ekspres meragut 13 nyawa di Lebuh Raya Utara Selatan di Rembau, berdekatan susur keluar Simpang Ampat pada 17 Oktober 2010 lalu langsung tidak memberi pengajaran kepada sebahagian pemandu bas ekspres lain. Pemandu bas-bas ekspres seolah-olah tidak mengambil peduli tentang kemalangan ngeri tersebut walaupun pihak polis mengaitkan nahas itu dengan faktor kenderaan dipandu laju.
Buktinya, siasatan dua hari wartawan Unit Khas Utusan Malaysia empat hari selepas nahas tersebut mendapati kebanyakan bas ekspres khususnya di Lebuh Raya Utara Selatan masih dipandu melebihi had laju 90 kilometer sejam (km/j). Malah, memandu dengan kelajuan 110 kmj sehingga 120 km/j seolah-olah menjadi perkara biasa kepada pemandu-pemandu terlibat. Akibatnya, banyak nyawa yang terkorban akibat daripada sikap pemandu yang sambil lewa.
Sebelum ini kita juga pernah terbaca laporan akhbar mengenai beberapa isu kecuaian perubatan yang berlaku di Malaysia. Hal ini berlaku bukan saja di hospital kerajaan, namun ia juga terjadi di hospital swasta.
Antara kes kecuaian perubatan yang dilaporkan adalah seperti kes gunting tertinggal dalam perut selepas pembedahan, suntikan yang menyebabkan tangan lumpuh, tersilap diagnos dan preskripsi ubatan sehingga mengakibatkan komplikasi sehingga membawa maut dan pelbagai lagi kecuaian.
Malah, jika anda masih ingat, pernah juga seorang kanak-kanak lelaki menjadi mangsa kecuaian ketika dia berkhatan. Ini adalah beberapa contoh mimpi negeri yang dialami oleh mereka yang menjadi mangsa kecuaian perubatan. Masalah – masalah ini terjadi akibat kelalaian pakar perubatan tersebut.
Merujuk kepada ketiga-tiga contoh isu tersebut, ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih ‘kekal’ dengan sikap sambil lewa dan tidak prihatin terhadap sesuatu perkara. Kita, sebagai rakyat Malaysia seharusnya mengambil kira sesutau perkara dan tidak memandang enteng kerana mungkin terjadi perkara yang dianggap enteng itu akan memberikan impak yang besar terhadap masyarakat dan seterusnya negara.

No comments:

Post a Comment