Tuesday, 22 March 2011

komen artikel: Kesan kebiadaban di dunia siber Oleh Dr. Rahmat Ghazali

Internet merupakan salah satu medium yang penting buat masa kini. Dengan menggunakan internet, segala urusan akan menjadi mudah dan cepat. Ini termasuklah untuk mencari informasi terhadap sesuatu isu atau perkara. Buat masa kini, internet bukan sahaja digunakan oleh golongan muda, tetapi juga digunakan oleh golongan yang berusia yang mana terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Kenyataan ini disokong oleh Yogi Arfiansya, (2010) bahawa Internet merupakan salah satu media yang paling utama dan paling penting. Internet boleh dikatakan menjadi sumber untuk mengetahui tentang isu-isu atau informasi. Malah, internet juga merupakan media hiburan utama bagi remaja-remaja dan juga golongan dewasa
Namun yang demikian, terdapat segelintir daripada kita yang telah menyalahgunakan kemudahan internet. Mereka menjadikan internet sebagai salah satu medium bagi mereka untuk melepaskan sumpah seranah, maki hamun dan kata-kata kesat sebagai tanda ketidakpuasan hati mereka terhadap sesuatu perkara.

Ini disebabkan oleh tiada sebarang sekatan atau tindakan keras yang akan dikenakan sekiranya seseorang individu itu menulis komen atau mesej yang mengandungi unsur–unsur penghinaan, atau kata–kata kesat. Namun begitu, kita tidak sewajarnya mengambil kesempatan dengan kebebasan yang telah diberikan pleh pihak kerajaan. Ini kerana, niat pihak kerajaan memberikan kebebasan bersuara kepada masyarakat adalah jelas untuk mempertingkatkan percambahan maklumat, ilmu dan idea yang boleh membangunkan keupayaan intelek rakyat Malaysia seiring dengan bangsa lain yang sudah maju.

Sikap individu yang tidak professional ini, sedikit sebanyak akan memberikan pandangan yang negatif oleh masyarkat luar terhadap budaya masyarakat kita. Ini kerana, segala mesej, komen atau informasi yang mengandungi unsur-unsur yang tidak bermoral tersebut bukan sahaja dapat dibaca oleh rakyat Malaysia tetapi juga masyarakat luar negara. Ini diburukkan lagi, apabila informasi atau mesej tersebut mengandungi unsur-unsur fitnah, pembohongan, hasutan, dan prejudis. Pihak luar yang kurang berpuas hati melihat keamanan negara kita akan cuba melakukan apa sahaja untuk mengganggu gugat kestabilan negara dan keharmonian yang sedia ada terjalin antara rakayat multietnik negara ini.

Baik isu yang sekecil zarah sehinggalah ke isu perpaduan nasional, pihak luar tidak akan sesekali terlepas pandang untuk cuba memanipulasikan dan memutarbelitkan fakta-fakta yang tidak benar yang telah disampaikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di internet sekaligus mengundang perbalahan dan kebencian diantara etnik. Sekiranya kebiadapan dunia siber ini tidak dibendung dengan segera, impaknya sangat besar terhadap negara kita.

Justeru itu, kita sebagai rakyat Malaysia tidak boleh dengan sewenang-wenangnya melontarkan ekspresi dan pandangan yang kurang baik melalui internet kerana umum mengetahui dunia globalisasi kini adalah dunia tanpa sempadan. Berfikirlah secara rasional sebelum melakukan sesuatu tindakan tanpa menurut emosi semata-mata.

No comments:

Post a Comment